In the News

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Melancarkan Projek “ MOSTI SOCIAL INNOVATION” untuk Rakyat Sarawak

Date 05-Mar-2016 | Category Press Release | Author
 

Kuching, 5 March 2016- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi agensinya Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) telah menyerahkan dua inovasi berguna kepada penduduk kampong di sekitar  daerah Kuching hari ini.

YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah merasmikan inovasi-inovasi tersebut iaitu Inovasi Sangkar Sembelihan di Kampung Semariang dan Inovasi Pengurusan Sisa Makanan Dan Sisa Kebun Domestik Di Kampung Bako, Kuching.

 

Menteri MOSTI, YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau memotong ribbon sebagai tanda perasmian projek Inovasi Pengurusan Sisa Makanan & Sisa Kebun Domestik Kampung Bako, Kuching.

 

Projek Sangkar Sembelihan di Kampung Semariang menggunapakai inovasi asal oleh En Hamzan bin Hashim dari Perlis dan diserahkan kepada JKKK Kampung Semariang Batu  dengan tujuan pengganti teknik tradisional penyembelihan haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau kepada teknik baru yang lebih efisien, mudah dan terurus.


Sangkar tersebut diserahkan di lokasi Masjid Nurul Khair dan akan diselenggarakan oleh pihak masjid dan JKKK.

 

Demonstrasi oleh penduduk kampung menggunakan Sangkar Sembelihan

 

Projek Pengurusan Sisa Makanan Dan Sisa Kebun Domestik di Kampung Bako pula bertujuan menaik taraf tempat pemprosesan sisa makanan dan kebun sedia ada menjadi Rumah Kompos, memperbaiki sistem kutipan sisa pepejal domestic, meningkatkan kualiti baja kompos dengan aplikasi pembuatan baja organik di Kampung tersebut. Secara tidak langsung, kualiti aktiviti pertanian akan meningkat dan keindahan alam akan dikekalkan.

Kedua-dua inovasi tersebut dibangunkan menerusi program INOVASI SOSIAL MOSTI atau MOSTI SOCIAL INNOVATION (MSI). Program MSI ini adalah  berteraskan program jangkau luar (outreach) ke peringkat akar umbi telah dilancarkan pada 16 April 2015.  MSI merupakan dana yang disediakan oleh Kerajaan bagi tujuan membantu kumpulan sasaran melalui pembangunan atau pelaksanaan idea sama ada yang berbentuk produk, perkhidmatan atau model bagi memenuhi keperluan sosial (meeting unmet social needs).  MOSTI telah membiayai 77 buah projek secara keseluruhannya pada tahun 2015 yang melibatkan 16 buah agensi yang bertindak sebagai penyedia teknologi bagi projek-projek yang terpilih. 
YB Datuk Seri Panglima Madius berkata dalam ucapannya di Kampung Semariang, “Saya percaya terdapat banyak inovasi-inovasi yang dipertandingkan pada hari ini bersifat inklusif dan berimpak tinggi. Inovasi-inovasi ini sudah sewajarnya diketengahkan untuk dikomersilkan dan adalah menjadi tanggungjawab pihak MOSTI bagi memastikan inovasi-inovasi ini mendapat pengiktirafan yang sewajarnya selaras dengan Dasar Sains dan Teknologi Negara yang bertujuan “menggalakkan penggunaan S&T sebagai satu alat untuk pembangunan ekonomi negara”.

Majlis tersebut yang dihadiri oleh Pengerusi JKKK, dan penduduk-penduduk kampung, berharap kedua-dua projek dapat memberi impak di dalam kampung mereka supaya dapat bersama-sama dalam membangunkan ekonomi negara.



[ Back ] [ Print Friendly ]