In the News

MOSTI sedia bantu Prof. Korea bangun papan kekunci tulisan jawi - BERNAMA

Date 29-Feb-2016 | Category News & Articles | Author BERNAMA ONLINE BERNAMA.COM
 

MELAKA 28 Feb. - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedia membantu pensyarah dari Busan University of Foreign Studies, Korea Selatan Prof. Dr. Kang Kyoung Seok untuk membangun dan mengeluarkan papan kekunci khas tulisan Jawi.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, pihaknya akan melihat dengan lebih terperinci tentang perkara tersebut antaranya sama ada usaha tersebut perlu dilakukan dengan kerjasama agensi MOSTI atau wakil lain dari negara ini.

Beliau berkata pihaknya juga akan merujuk dengan pelbagai pihak antaranya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

"Kita akan lihat apa bantuan yang boleh kita beri dan akan menggunakan peruntukan MOSTI yang ada sekiranya projek berkenaan mampu memberi manfaat kepada masyarakat di negara ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan 25 kompang x-ray kepada tiga persatuan kompang di Melaka yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) Aziph Mustapha.

Bernama sebelum ini melaporkan usaha Kang, 61, seorang pakar tulisan jawi dalam usaha membangunkan papan kekunci untuk kegunaan tulisan jawi antara lain bagi memupuk minat generasi muda terhadap penggunaan bahasa jawi.

Sementara itu Abu bakar berkata, MOSTI akan menyalurkan peruntukan berjumlah RM200,000 bagi penghasilan 600 kompang x-ray di seluruh negara menerusi Dana Sosial Inovasi Mosti.

Beliau berkata kesemua kompang berkenaan telah diagihkan kepada 24 persatuan kompang di seluruh negara secara berperingkat bermula November tahun lepas.

"Mosti amat menghargai produk inovasi terutama yang dihasilkan anak tempatan dan kejayaan penghasilan kompang x-ray ini berjaya dikenal menerusi Program Jejak Inovasi pada tahun 2012," katanya.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata kompang berkenaan menrupakan hasil inovasi dan kreativiti anak tempatan iaitu Suman Ahmad, 65, dari Bukit Larang Telok Mas di sini menerusi barangan terpakai.

Katanya, kompang berkenaan dihasilkan menggunakan filem x-ray sebagai alternatif menggantikan kulit lembu sebagai bahan buatan kompang bagi menjimatkan kos dan mesra alam.- BERNAMA

 

klik logo ini untuk membaca artikel ini dari laman web BERNAMA



[ Back ] [ Print Friendly ]