In the News

MOSTI SEDIA EKOSISTEM PEMANTAPAN STI NEGARA

Date 22-Feb-2016 | Category News & Articles | Author SIARAN AKHBAR
 

PUTRAJAYA, 22 FEBRUARI 2016 – Warga Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) adalah disaran untuk menerapkan ekosistem yang berlandaskan dan fokus ke arah ‘market driven, science, technology and innovation (STI) driven’. Perkara ini telah disarankan oleh YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini semasa menyampaikan majlis amanat 2016 kepada warga MOSTI. 

"Sekarang bukan masanya berfokuskan kepada bantuan dana semata-mata," tambah Madius lagi. 

MOSTI dan agensinya juga diingatkan lebih berinovasi dalam menyediakan perkhidmatan agar dapat mengurangkan birokrasi dan tadbir urus lapuk.  Ini adalah selari dengan cabaran strategik ke-enam Wawasan 2020 untuk melahirkan rakyatnya yang mengeluarkan teknologi dan bukan sekadar pengguna.
YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam amanatnya turut menegaskan kepentingan MOSTI merangka kemajuan kerjaya dalam bidang STI sebagai motivasi generasi akan datang untuk mengambil STEM.

“Inisiatif ini diharapkan akan menyumbang kepada harapan Malaysia seperti yang dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri iaitu meningkatkan penghayatan dalam bidang inovasi: keusahawanan; penguasaan bahasa; dan kemahiran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). Penghayatan dalam empat perkara ini membolehkan negara lebih berdaya saing di peringkat global”, demikian menurut beliau.

Tahun 2016 turut memperlihatkan MOSTI memikul amanah yang lebih besar iaitu sebagai pemacu salah satu perubahan atau game changer ke-5, iaitu “menjana kekayaan melalui inovasi” dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMKe-11). Selain itu, MOSTI turut dipertanggungjawabkan menerajui Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY 2016) yang menekankan aspek-aspek kesan positif terhadap penggunaan teknologi, mekanisasi dan automasi sehinggakan berlakunya pengurangan kos pengeluaran dan peningkatan produktiviti.

Pada suku akhir 2015, MOSTI telah memperkenalkan MOSTI Sosial Innovation (MSI) yang bermatlamat mengarusperdanakan inovasi akar umbi sejajar dengan inovasi yang dihasilkan melalui makmal oleh para penyelidik dan saintis. MOSTI juga akan terus menggiatkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan memberi keutamaan kepada projek-projek yang kosnya rendah, berimpak tinggi dan boleh dilaksanakan dengan cepat (low-cost, high impact, rapid execution).



[ Back ] [ Print Friendly ]